Politik emosi mudah terjadi – Ibrahim

KUALA LUMPUR 6 Jun – Generasi muda akan mudah emosi terhadap parti politik dan kepemimpinan yang rasuah, tidak berakhlak dan menjual maruah diri, kata Presiden Putra Dr Ibrahim Ali.

Katanya, kalangan generasi muda akan bersifat politik emosi jika pemimpin salah guna kuasa, berbohong, cakap tidak serupa bikin,  gagal menunaikan janji, hipokrit apatah lagi jika sumpah menjadi mainan.

“Jangan persendakan minda golongan muda dan ini membawa generasi muda mudah emosi. Politik emosi senang terjadi apabila rakyat terhimpit dengan tekanan inflasi dan kos sara hidup yang terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan ancaman terbesar bangsa Melayu adalah pemikiran tua, mundur dan lapuk segelintir pemimpin Melayu yang tidak sedar bahawa Generasi X, Y, Z dan Alpha sudah muncul.

“Mereka ini tidak dengan mudahnya terpedaya dengan politik emosi yang dibawa semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” katanya semalam.

Dalam hantaran di laman X, beliau juga menegaskan permainan politik yang berasaskan emosi semata perlu dihentikan untuk kemajuan orang Melayu jika tidak akan menjerumuskan bangsa Melayu ke lembah kelemahan dan kemunduran.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, sentimentalisme tidak akan memenangkan orang Melayu dalam persaingan teknologi, tarif, kemajuan ilmu, mahupun perniagaan masa hadapan.

Dalam pada itu Ibrahim berkata, sejarah membuktikan jatuhnya sesebuah kerajaan adalah kerana emosi golongan muda akibat kos sara hidup dan jijik dengan pemimpin yang cakap lain buat lain.

“Terimalah hakikat sejarah bahawa emosi mudah menggelegak apabila kepemimpinan terpalit dgn pelbagai isu.

“Sekadar sumbang topi keledar percuma dan hulur sekali sekala tidak bermakna semangat golongan muda boleh ditutup dengan mudah. Tunggu dan lihat nanti kerana sejarah tidak pernah menipu dan sejarah selalu berulang,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment