Menteri-menteri luar Arab dihalang

AMMAN – Beberapa menteri luar dari negara-negara Arab mengecam keputusan Israel menghalang mereka melawat Tebing Barat yang diduduki pada hujung minggu ini bagi bertemu Presiden Negara Palestin, Mahmud Abbas.

Lawatan itu dijangka membabitkan menteri luar dari Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Bahrain, bersama Setiausaha Agung Liga Arab.

Israel pada malam Jumaat lalu mengumumkan tidak akan bekerjasama, sekali gus menyekat lawatan itu kerana menguasai sempadan dan ruang udara wilayah terbabit.

Seorang pegawai Israel berkata, Abbas ‘berniat menganjurkan pertemuan provokatif bersama menteri luar negara Arab untuk membincangkan penubuhan sebuah negara Palestin’ dan menuduh cadangan itu ancaman kepada keselamatan Israel.

“Negara sebegitu sudah pasti akan menjadi sebuah negara pengganas di tengah-tengah Tanah Israel. Israel tidak akan bekerjasama dengan sebarang usaha yang bertujuan membahayakan negara dan keselamatannya,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Palestin pula menyuarakan ‘kebimbangan serius’ dan menyifatkan tindakan Israel itu sebagai ‘pelanggaran nyata terhadap tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa sebagai kuasa pendudukan’.

Sekiranya lawatan itu diteruskan, ketua delegasi, Putera Faisal Farhan akan menjadi Menteri Luar Saudi pertama yang melawat Tebing Barat.

Israel minggu ini mengumumkan penubuhan 22 penempatan Yahudi baharu di Tebing Barat, yang dianggap haram di sisi undang-undang antarabangsa dan menjadi antara halangan utama kepada perdamaian jangka panjang antara Israel dan Palestin.

Ketika lawatan ke salah satu lokasi penempatan baharu pada Jumaat, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berikrar untuk membina sebuah ‘negara Yahudi Israel’ di wilayah Palestin.

Beliau menyindir negara-negara asing yang menurutnya hanya akan ‘mengiktiraf negara Palestin di atas kertas’ dan “kertas itu akan dibuang ke tong sampah sejarah dan negara Israel akan terus berkembang dan makmur,”.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment