GAZA – Hamas secara prinsip setuju terhadap cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh utusan Amerika Syarikat ke Asia Barat, Steve Witkoff, dengan syarat utama menamatkan perang dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, Hamas akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup dan 18 mayat sebagai pertukaran kepada pembebasan sejumlah tahanan Palestin oleh Israel.
Dalam kenyataannya, Hamas berkata, cadangan ini bertujuan untuk mencapai gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh dari Semenanjung Gaza serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat.
Hamas berkata, maklum balas terhadap cadangan tersebut dibuat selepas perbincangan dan rundingan bersama pihak-pihak berkepentingan di peringkat nasional.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata kerajaannya bersetuju dengan cadangan Witkoff, namun Hamas terus menolak.
Katanya, Israel akan terus berusaha membawa pulang semua tebusan dan menewaskan Hamas.
Cadangan yang dikemukakan mengesyorkan gencatan senjata selama 60 hari dan pertukaran 28 daripada 58 tebusan dengan lebih 1,200 tahanan Palestin, selain kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pegawai kanan Hamas, Basem Naim, menafikan kumpulan itu menolak cadangan terbabit, tetapi menuduh Israel tidak mematuhi apa yang sudah dipersetujui dan mendakwa Witkoff berat sebelah terhadap Israel.
Namun, Witkoff pula menyatakan platform sosial X, maklum balas Hamas sama sekali tidak boleh diterima dan hanya membantutkan proses rundingan.
Utusan khas AS itu menggesa Hamas supaya menerima kerangka cadangan gencatan senjata sebagai asas untuk rundingan tidak langsung yang boleh dimulakan segera minggu ini.
Nnn
