Ikrar Israel bina negara Yahudi-Israel

BAITULMUQADDIS – Israel berikrar untuk membina sebuah negara Yahudi-Israel di kawasan Tebing Barat sambil memberi amaran akan menghancurkan Gaza jika Hamas tidak patuh kepada syarat gencatan senjata terkini.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, membuat ikrar itu ketika lawatannya ke pos penempatan haram Sa-Nur di utara Tebing Barat.

Kenyataan itu dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata hampir tercapai sementara krisis kemanusiaan di Gaza terus merosot di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kesan kebuluran sudah mula kelihatan dalam kalangan penduduk Gaza.

Katz berkata, Hamas mesti menerima cadangan gencatan senjata dikemukakan oleh utusan AS, Steve Witkoff, atau berdepan kemusnahan, selepas Hamas menyatakan syarat terbaharu itu tidak memenuhi tuntutan mereka.

Israel sebelum ini menyatakan bahawa memusnahkan Hamas adalah salah satu matlamat utama dalam peperangan itu, dengan rundingan menamatkan hampir 20 bulan perang di Gaza masih belum mencapai kemajuan yang bermakna.

Dalam pada itu jurucakap agensi kemanusiaan PBB, Jens Laerke, menyifatkan Gaza sebagai tempat paling lapar di dunia dan saban hari keadaan bertambah teruk.

“Ia satu-satunya kawasan yang ditakrifkan, negara atau wilayah tertentu dalam sesebuah negara, di mana seluruh penduduknya diancam risiko kebuluran,” katanya.

Sementara itu, satu persidangan antarabangsa akan diadakan di ibu pejabat PBB yang dianjurkan bersama Perancis dan Arab Saudi dan dijadualkan pada Jun ini bertujuan menghidupkan semula idea penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, dengan lebih 150 negara anggota PBB sebelum ini menyatakan sokongan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment