Biro politik PKR bincang kos sara hidup

KUALA LUMPUR 29 Mei – Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan (PKR) bagi sesi 2025/2028 hari ini membincangkan mengenai langkah susulan terhadap kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden, Anwar Ibrahim itu turut menyentuh mengenai kesiapsiagaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (Sabah) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut kenyataan Biro Politik PKR, mesyuarat dimulakan dengan mengambil kira siri pelaksanaan dasar yang bakal dibawa oleh pihak eksekutif berserta impak terhadap kos sara hidup rakyat.

Langkah susulan turut diperhalusi bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti.

Kedua, perbincangan turut menjurus kepada PRN Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi dan tumpuan parti pada ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Pada masa yang sama, Timbalan Presiden serta semua Naib Presiden PKR turut diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan parti dan rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani.

Demi kelangsungan persediaan pilihan raya, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Mustapha Sakmud akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Negeri Sabah sementara menunggu pelantikan yang baharu.

Dalam konteks yang sama, Peto Galim juga akan meneruskan tanggungjawab beliau sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Negeri (JPRN) Sabah.

Mesyuarat turut membuat ketetapan bahawa Fuziah Salleh dan William Leong akan terus menjalankan tugas masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PKR sehingga pelantikan baharu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat kelak.

Related posts

Leave a Comment