JOHOR BAHRU 29 Mei – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir membayangkan tidak akan mengikut jejak Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletak jawatan dalam jemaah menteri.
Dalam kenyataannya, beliau berkata segala tunjuk ajar serta teladan yang diberikan (Rafizi Ramli) akan terus menjadi pedoman untuknya menjalankan amanah dan tugas dalam masa yang berbaki ini.
Semalam Rafizi meletak jawatan Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selepas gagal mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan PKR baru-baru ini.
Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing gagal mempertahan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada Pemilihan PKR 23 Mei lalu manakala Akmal Nasrullah memepertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Untuk rekod, Akmal Nasrullah berada dalam ‘pasukan’ HIRUK yang diketuai Rafizi.
Mengulas peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, walaupun keputusan itu berat dan sukar diterima, namun kedua-duanya tetap berpegang teguh pada prinsip dan kata-kata mereka.
Beliau berkata sepanjang tempoh kempen pemilihan, Rafizi dan rakan-rakan cekal mempertahankan asas perjuangan parti walaupun terpaksa menongkah arus melalui Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK).
“Sejujurnya, bukan sahaja parti tetapi negara kehilangan pmimpin yang progresif dan futuristik. Tatkala negara akan terus hadapi cabaran yang sukar pada masa yang mendatang, roh semangat perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi akan terus bersama kita semua,” katanya.
Nnnn
