32,566 pengundi baharu sepanjang April

PUTRAJAYA 21 Mei – Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2025 (DPT BLN4/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 19 Jun depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak.

DPT BLN4/2025 yang diperaku dan diwartakan hari ini mengandungi 32,566 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 April 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu Ikmalrudin berkata, ia turut mengandungi 13,058 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,016 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

“SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 April 2025 hingga 30 April 2025 dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama dalam DPT BLN4/2025, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, DPT BLN3/2025 merekodkan 39,241 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang Mac lalu, berbanding 34,889 pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 28 Februari 2025.

Manakala 37,683 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 31 Januari 2025.

Ikmalrudin berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my), aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my), aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-8892 7218.

Beliau berkata sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenarai dalam DPT BLN4/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.

Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN4/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-8892 7218,” katanya.

Related posts

Leave a Comment