MUFTI Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, mengajak seluruh masyarakat memperkukuhkan semangat dan meneguhkan keimanan dan tradisi supaya lebih optimis dalam menghadapi situasi dunia yang suram dan muram.
Beliau yakin dengan kesatuan yang lebih baik dan persahabatan lebih mendalam, masyarakat akan muncul dengan lebih kuat sebagai rakyat Singapura yang bersatu padu.
Dr. Nazarudin menyampaikan mesej itu melalui Facebook Majlis Ugama Islam Singapura sempena sambutan Minggu Suci, Good Friday dan Easter Sunday, sebagai memperingati Jesus Christ.
Dalam ucapan khusus untuk penganut agama Kristian itu, beliau menyatakan Islam menghargai kedudukan dan peranan Jesus, terutama mukjizat penyembuhannya.
“Jesus menganjurkan keamanan dan memohon keselamatan untuk pengikutnya dan kami ( Islam) juga diajar untuk sama-sama menganjurkan keamanan kepada orang lain. Kami benar-benar terangsang dengan persamaan antara kita, bukan hanya dalam cara kita memahami dunia, dan sejarah agama, tetapi juga pengorbanan bersama demi menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik,” kata Dr Nazirudin.
Beliau berkata, sama seperti masyarakat Kristian yang tidak dapat meraikan acara-acara bermakna ini disebabkan wabak Covid-19, masyarakat Islam juga menghadapi keadaan yang sama pada bulan Ramadan dan Hari Raya.
“ Kami harap anda akan terus bersabar dan dapat merayakannya dengan bermakna dengan orang-orang yang disayangi. Krisis ini akan menjadikan kita lebih beriltizam untuk menyokong satu sama lain sedang kita menghadapi masa depan dan dunia yang tidak menentu,” katanya.