SINGAPURA 21 Mei – Perdana Menteri, Lawrence Wong, mengumumkan Kabinet baharu, mengandungi 15 menteri dua pemangku menteri di Pejabat Perdana Menteri dan 16 kementerian yang disifatkannya pasukan ‘paling kuat’ untuk memimpin Singapura.
Katanya, Kabinet pertama beliau selepas memenangi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) itu menggabungkan tokoh berpengalaman serta menteri baharu yang lebih muda bagi menghadapi cabaran dunia dan ekonomi yang tidak menentu.
Beliau mengekalkan Gan Kim Yong sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan di samping menyelaras usaha memperkukuh ekonomi negara sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert).
Wong turut melantik tiga menteri berpengalaman iaitu K. Shanmugam, Ong Ye Kung dan Chan Chun Sing.
Chun Sing mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan dan sebagai Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Ye Kung mengekalkan portfolio kesihatan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.
Shanmugam akan melepaskan portfolio undang-undang tetapi kekal sebagai Menteri Ehwal Dalam Negeri dan sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.
Desmond Lee akan melepaskan portfolio beliau sebagai Menteri Pembangunan Negara dan mengambil alih jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Chee Hong Tat pula akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan menggantikan Lee sebagai Menteri Pembangunan Negara.
Masagos Zulkifli akan kekal sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, tetapi tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Prof Madya Faishal Ibrahim akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Zaqy Mohamad, yang kini Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam Singapur (MENDAKI) akan mengambil alih peranan Masagos sebagai Pengerusi MENDAKI.
Wong turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin yang bersara termasuk Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, Dr Ng Eng Hen, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Maliki Osman, Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan Heng Chee How dan Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Dr Amy Khor.
Nnnn
(foto fb Lawrence Wong)