GAZA – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan, angka korban kakitangannya dalam serangan Israel di Gaza kini melepasi 300 orang, sejak Oktober 2023.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini dalam satu hantaran di platform X berkata, sebahagian besar daripada mereka dibunuh oleh tentera Israel bersama anak-anak dan insan tersayang mereka, di mana seluruh keluarga terkorban.
Menurut Lazzarini, sebahagian besar anggota UNRWA yang terkorban adalah petugas kesihatan dan guru di mana beberapa daripada mereka maut ketika sedang menjalankan tugas membantu komuniti masing-masing.
“Tiada apa yang boleh dijadikan alasan untuk pembunuhan ini. Kebal daripada hukuman hanya akan membawa kepada lebih banyak pembunuhan. Pihak yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
UNRWA ditubuhkan pada 1949 sebagai talian hayat kritikal untuk pelarian Palestin, dan kini menyokong hampir 5.9 juta orang di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan.
Data Bank Dunia menunjukkan hampir 2.4 juta penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan dan krisis di wilayah terkepung itu, semakin buruk sejak Israel menutup sepenuhnya laluan keluar masuk ke Gaza bagi bekalan makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan pada 2 Mac lalu.