KOTA KINABALU 17 Mei – Kepemimpinan UMNO Sabah kekal autonomi bagi membuat keputusan berhubung soal parti, termasuk berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), kata Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata UMNO menghormati autonomi yang diberi dan perkara itu sudah diketahui dengan jelas oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat dan negeri, termasuk Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin.
Justeru, beliau menafikan dakwaan mengatakan keputusan yang dilaksanakan di negeri ini dibuat di peringkat Pusat, sebaliknya menekankan kedua-dua peringkat saling berunding antara satu sama lain.
“Kita saling berunding antara satu sama lain dan saya percaya di bawah kepemimpinan Bung Moktar, beliau bukan saja berbincang dalam kalangan pemimpin parti di Sabah, tapi juga dengan kita di Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Gerak17 UMNO Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Sepanggar, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid juga berkata, kedudukan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang digantung keahlian dalam UMNO turut diputuskan oleh Bung Moktar.
Katanya, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu boleh diberi peluang untuk bertanding semula pada PRN17 bergantung kepada keputusan Bung Moktar.
“Mereka (Shahelmey bersama beberapa pemimpin UMNO Sabah) tidak keluar parti dan tidak dipecat, status mereka ialah digantung. Peluang untuk bertanding bergantung kepada kebijaksanaan Bung Moktar,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut mengulangi peringatannya supaya slogan ‘Sabah untuk orang Sabah’ tidak dibangkitkan demi semangat persekutuan Malaysia
“Kita tidak mahu ada perasaan ‘regionalistic’ (kewilayahan) yang sangat kental. Kenapa kita perlu bangkitkan perkara itu sedangkan kita perlu antara satu sama lain, jangan bangkitjan perasaan itu.
“Saya fikir kita sebagai sebuah negara yang dibentuk atas semangat Persekutuan Malaysia, perkara itu harus jadi tajuk utama. Kemajuan antara negeri itu saling memerlukan dokongan antara satu sama lain.
“Jangan berfikiran sempit dan jumud sebagaimana seorang pemimpin di Sabah yang menyatakan perkara ini setiap kali pilihan raya,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dr Jeffrey Kitingan mempertahankan slogan Sabah untuk orang Sabah yang dinafikannya satu tindakan berunsur penentangan terhadap Persekutuan.
Beliau berkata, ia adalah pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah yang berlaku di Sabah.
Nnn