Fadhlina komited terajui Wanita PKR

KUALA LUMPUR 17 Mei –  Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek komited untuk terus menerajui sayap wanita demi memastikan kesinambungan dan kestabilan dalam pergerakan politik parti selari agenda reformasi dan pembinaan Malaysia Madani.

Menteri Pendidikan itu berkata, sepanjang sesi 2022 hingga 2025, beliau dan seluruh kepemimpinan Wanita PKR Pusat menterjemahkan iltizam untuk memberdaya wanita menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di setiap peringkat.

“Ia merangkumi agenda memperkasa wanita, memperjuangkan hak dalam isu keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak, kewarganegaraan serta advokasi berkaitan anti gangguan seksual,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pada pemilihan 22 Mei ini, Fadhlina yang akan mempertahankan jawatan itu bakal dicabar Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Melalui kenyataan itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mengimbas kembali Teks Deklarasi Permatang Pauh (DPP) yang pernah dizahirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 September 1998 lebih seminggu selepas beliau dipecat dari jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Teks itu mengabdikan pernyataan tekad perjuangan Anwar yang terkesan dengan makna kesungguhan berjuang dengan kekuatan semaksimumnya.

Mengenai agenda memperkasa wanita, Fadhlina berkata pengenalan Inisiatif Sekolah Wanita (SWAN) sebelum ini, bertujuan melahirkan pemimpin wanita berilmu, berketerampilan dan berkeyakinan dalam semua aspek kehidupan seperti politik, sosial, ekonomi dan kepemimpinan.

“Melalui inisiatif lain seperti Misi Bantuan Bencana Banjir Wanita Keadilan dan Bakul Makanan Wanita ia adalah aktivisme sosial bagi memastikan kebajikan masyarakat terutama golongan wanita, otai (veteran) reformis dan kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan.

“Penubuhan tabungan Dana 30WReps dan Run 2 Win pula diperkenalkan untuk menyediakan kebitaraan calon dan mempersiapkan jentera wanita bagi menghadapi PRN Sabah dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang,” katanya.

Beliau berkata, aktivisme dan khidmat bakti untuk rakyat dapat meningkatkan keupayaan wanita untuk bergerakkan dari akar umbi.

“Setiap ketukan pintu rumah, wanita PKR harus mengetuk pintu hati rakyat untuk terus bersama dalam perjuangan ini.

“Agenda Madani yang bertunjangkan reformasi harus mengekalkan pasukan dan pemimpin yang membawa kesinambungan dan kestabilan untuk parti demi kestabilan sayap Wanita PKR,” katanya.

Related posts

Leave a Comment