Riyadh sambut lawatan Trump

RIYADH – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadualkan tiba di Riyadh, Arab Saudi pada Selasa, bagi memulakan lawatan rasmi beliau ke Asia Barat selepas memegang jawatan itu bagi penggal kedua Januari lalu.

Lawatan empat hari itu turut merangkumi persinggahan di Doha, Qatar dan Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), menyamai kunjungan sulung antarabangsa beliau pada 2017 yang menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi pertama.

Semasa di Riyadh, Trump dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, selain menghadiri mesyuarat bersama pemimpin negara-negara Teluk serta wakil industri teknologi dan perniagaan sehingga 16 Mei.

Media antarabangsa melaporkan tokoh perniagaan seperti Elon Musk juga dijangka menghadiri Forum Pelaburan Arab Saudi-AS yang dijadualkan berlangsung di sini, pada 13 Mei.

Arab Saudi sebelum ini menyatakan komitmen untuk melabur AS$600 bilion di AS dalam tempoh empat tahun, selain bersetuju membeli senjata dari Washington bernilai US$3.5 bilion pada awal tahun ini.

Pada Mac lalu, Trump, menyatakan hasrat akan membuat lawatan luar negara pertamanya ke Arab Saudi bagi memeterai perjanjian yang menyaksikan Riyadh melabur lebih AS$1 trilion (RM4.43 trilion) dalam ekonomi AS, termasuk pembelian peralatan ketenteraan.

Trump berkata beliau dijangka ke negara itu, seawal-awalnya Mei ini.

“Kali ini, mereka semakin kaya, kita semua semakin tua,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval.

Beliau turut mengimbas kembali lawatan luar negara pertamanya sebagai presiden pada 2017, yang menyaksikan Arab Saudi mengumumkan pelaburan di AS bernilai AS$350 bilion (RM1,552 bilion).

Trump berkata, atas permintaannya, Arab Saudi bersetuju untuk melabur AS$1 trilion dalam tempoh empat tahun ke dalam syarikat negara itu, termasuk pembelian peralatan ketenteraan.

Related posts

Leave a Comment