ALOR SETAR 6 Mei – Dewan solat utama Masjid Negeri, Masjid Zahir ditutup sementara kepada jemaah bermula semalam (5 Mei) sehingga 15 Jun bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan di masjid itu.
Menurut satu kenyataan melalui Facebook masjid, penutupan itu melibatkan beberapa ruang utama termasuk Mihrab Diraja, Mihrab Kedua serta ruang solat muslimat.
Sepanjang tempoh penutupan tersebut, solat fardu berjemaah dari Subuh hingga Isyak termasuk program-program pengajian umum akan dilaksanakan di Anjung Utama masjid berkenaan.
Program dan kuliah harian diteruskan seperti biasa mengikut jadual sedia ada termasuk program Khatam Subuh 4.0, Kuliah Subuh setiap pagi Jumaat, Kuliah Dhuha secara dalam talian, Halaqah Al-Quran dan Kuliah Maghrib.
Begitu juga Berbuka Puasa Sunat Isnin dan Khamis, Kelas Pengajian Al-Quran dan Tajwid serta Kuliah Pengajian Agama dan Fardu Ain Khas Orang Kelainan Upaya (OKU Pendengaran).
Nnn
