PN perlu berubah hadapi strategi PM

SEPANG 3 Mei – Dewan Pemuda Pas menyifatkan pandangan keperluan rombakan atau penambahbaikan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sesuatu yang harus dipandang serius oleh semua pimpinan dan akar umbi dalam gabungan ini.

Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man itu sebagai satu wake-up call yang tepat pada waktunya, ketika PN bukan lagi dalam fasa merintis.

“Perubahan ini bukan retorik. Ia satu tuntutan masa. Jika kita tidak berubah, maka kita akan diubah oleh rakyat.,” katanya.

Beliau berkata, Tuan Ibrahim bukan sekadar bercakap atas kapasiti seorang pemimpin kanan, tetapi sebagai suara berpengalaman yang telah menyaksikan sendiri turun naik perjuangan kita sepanjang beberapa tahun ini.

“Kita sudah melepasi tempoh tiga ke empat tahun yang penuh warna-warni—bergelar kerajaan, menjadi rakan dalam kerajaan, dan kini sebagai pembangkang.

Setiap fasa itu datang dengan cabarannya yang tersendiri. Namun sayangnya, pentadbiran kita kekal dalam acuan lama, seolah-olah tidak belajar daripada peralihan demi peralihan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan yang memetik Tuan Ibrahim sebagai berkata keperluan   merombak struktur pimpinan pentadbiran PN.

Bagaimanapun beliau kemudiannya menjelaskan apa yang dimaksudkan adalah penambaikan bertujuan memperkasakan Majlis Presiden dan memperkukuhkan pasukan media serta Jabatan Pilihan Raya gabungan berkenaan.

Dalam pada itu Dewan Pemuda Pas mengingatkan jika pentadbiran PN kekal statik, tidak progresif dan tidak responsif terhadap cabaran semasa, maka parti sebenarnya sedang menempah kegagalan.

Katanya, rakyat sudah mula menyuarakan kebimbangan dan mereka mahu melihat PN yang bersedia memimpin, bukan sekadar bersedia bertanding.

“Mereka mahu lihat sebuah gabungan yang tersusun, tangkas dan mempunyai strategi komunikasi serta pengurusan politik yang lebih moden dan agresif. Lebih membimbangkan, kita kini berdepan dengan Perdana Menteri yang menjadikan populariti peribadi sebagai strategi utama.

Beliau bukan sekadar memimpin, tetapi juga mencipta persepsi. Setiap tindakannya, dari menyanyi ke bersajak, dari provokasi ke gimik media, adalah sebahagian daripada strategi untuk membina imej di mata rakyat. Ini bukan permainan biasa. Ini adalah politik persepsi yang memerlukan respon luar biasa,” katanya.

Justeru katanya, pentadbiran PN mesti berubah, segar dengan pendekatan yang lebih dinamik, termasuk dalam aspek kepemimpinan , penyusunan dalaman, naratif media, dan penglibatan anak muda.

“Kita tidak boleh berharap kepada strategi lama untuk berdepan dengan cabaran politik baru. Apatah lagi, ada rakan-rakan politik yang sedang memerhati. Mereka mahu bersama kita, tetapi mereka juga mahu melihat kesungguhan kita untuk menjadi lebih kuat, lebih bersedia dan lebih strategik.

Jika kita gagal memberi isyarat perubahan, maka kita akan gagal meyakinkan rakyat. Dan lebih malang, kita akan gagal meyakinkan bakal rakan seperjuangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment