PUTRAJAYA 29 April – Keyakinan rakyat adalah elemen penting dalam usaha memerangi rasuah secara menyeluruh selain memastikan tiada campur tangan politik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Katanya, tanpa kepercayaan rakyat, sukar untuk agensi seperti SPRM menjalankan peranannya dengan baik.
“Dalam kita menguatkuasakan undang-undang memerangi rasuah dalam negara dan pastikan tidak berlaku campur tangan politik, aspek (lain) yang penting adalah mendapatkan keyakinan rakyat.
“Kalau rakyat tak yakin, maka mereka tidak akan faham mengenai usaha kita dan tentunya (usaha) perangi rasuah takkan berjalan dengan baik.
Contoh di Asia Tenggara, lebih besar populasi, lebih sukar (nak dapatkan keyakinan rakyat), bayangkan Malaysia dengan populasi 34 juta, bagaimana dengan negara lain seperti Indonesia yang penduduknya 240 juta, tentunya ini satu cabaran untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai niat memakmurkan negara masing-masing,” katanya.
Beliau memberitahu media selepas Majlis Perasmian Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025 di Putrajaya International Convention Centre (PICC),di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Kesatuan Antirasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Mustafar Ali.
Mengenai tujuan penganjuran persidangan itu, Azam berkata ia bukan sekadar untuk ‘mengimbas kembali’ Penyata Jakarta yang pernah dilancarkan pada 2012, malah menjadi medan perkongsian pengalaman mengenai usaha memerangi rasuah yang dijalankan oleh badan pencegahan rasuah di peringkat serantau.
“Penyata Jakarta pernah dibuat dahulu di Jakarta yang mana terdapat 16 prinsip diputuskan. Sekarang ini kita mahu ‘refresh’ semula supaya semua badan pencegahan rasuah di Asia Tenggara saling memahami dan meneruskan pelaksanaannya.
“Kita juga mencari jalan dan kaedah yang lebih baik bagi tujuan memerangi rasuah bersama,” katanya.
Azam berkata, Malaysia turut menjadikan persidangan itu sebagai ruang berkongsi pengalaman mengenai undang-undang berkaitan antirasuah memandangkan Malaysia antara negara di Asia Tenggara terawal yang menubuhkan agensi antirasuah.
Persidangan tertutup membabitkan penyertaan 11 wakil agensi pencegahan rasuah negara ASEAN itu menghimpunkan pemimpin, pakar, badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh rantau untuk satu tujuan, iaitu bagi membanteras rasuah demi masa depan yang lebih adil dan telus.
Persidangan sehari itu mengangkat tema ‘Mengimbas Kembali Penyata Jakarta’ yang merujuk kepada dokumen penting dilancarkan 13 tahun lalu untuk memperkukuh prinsip dan kebebasan agensi pencegahan rasuah di rantau ini.
Ia juga medan penting bagi menilai pelaksanaan 16 Pernyataan Jakarta Mengenai Prinsip-Prinsip bagi Agensi Antirasuah selain memperkasa kerjasama serta perkongsian ilmu antara negara ASEAN.
Antara agensi anti rasuah yang hadir dalam persidangan serantau itu adalah Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) dari Singapura dan National Anti-Corruption Commission (NACC) dari Thailand.
Penyata Jakarta adalah satu daripada inisiatif di bawah pengelolaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).
Antara prinsip ditetapkan adalah mandat agensi pencegahan rasuah bagi menangani rasuah, kerjasama agensi itu dengan pihak lain dalam menjalankan tugas dan kekekalan penubuhan agensi itu selaras undang-undang negara masing-masing.
NNN