PUTRAJAYA 22 April – Kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion sebagai insentif melaksanakan program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah, yang disalurkan secara berterusan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Kedah akan terus menuntut RM200 juta setahun sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi bagi menjamin bekalan beras negara.
“(Kita sudah berikan) RM1 bilion… RM1 bilion on going (berterusan),” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.
Semalam, di Dewan Undangan Negeri (DUN), Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga menolak cadangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) iaitu bayaran RM41 juta setahun kepada Kedah melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).
Pada Februari lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata peruntukan RM1 bilion diluluskan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai insentif melaksanakan program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di negeri Kedah.
Langkah itu katanya adalah untuk meningkatkan produktiviti supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan sekurang-kurangnya daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus.
Nnnn
