BEIRUT – Kumpulan Hizbullah, menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan sesiapa pun melucutkan senjatanya atau menghentikan tentangan terhadap Israel.
Ketua Kumpulan Hizbullah, Naim Qassem, menegaskan demikian susulan desakan Washington terhadap Beirut supaya gerakan yang disokong Iran itu menyerahkan senjatanya.
Pejuang Hizbullah, yang sekian lama menjadi kuasa dominan dalam politik Lubnan, semakin lemah selepas lebih setahun pertempuran dengan Israel yang tercetus susulan perang di Gaza.
Ini termasuk serangan darat Israel dan pengeboman selama dua bulan yang menyebabkan barisan kepemimpinan kumpulan itu musnah.
Pertempuran itu sebahagian besarnya berakhir dengan gencatan senjata November lalu, namun sebelum itu ketua veteran kumpulan terbabit yang juga pendahulu Qassem, Hassan Nasrallah, terbunuh dalam serangan udara Israel.
Kita mesti padamkan terus idea pelucutan senjata ini daripada kamus kita,” kata Qassem dalam satu siaran di saluran televisyen pro-Hizbullah.
Awal minggu ini, Presiden Lubnan, Joseph Aoun, berkata beliau mahu menjadikan 2025 sebagai ‘tahun mengehadkan senjata hanya di tangan kerajaan’ dan berharap dapat mencapainya melalui ‘dialog’ dengan Hizbullah.
Qassem berkata kumpulannya sedia berdialog mengenai ‘strategi pertahanan’, tetapi tidak akan melakukannya di bawah tekanan ‘pendudukan’ Israel.
“Israel mesti berundur (dari selatan Lubnan) dan menghentikan pencerobohannya, kerajaan Lubnan perlu memulakan proses pembinaan semula,” katanya.
