Laporan penuh siasatan letupan dibentang Mei

SUBANG JAYA 11 April – Pasukan siasatan berhubung kes letupan saluran paip gas di Putra Heights, di sini dijangka membentangkan laporan penuh pertengahan Mei ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun jangkaan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor keselamatan kawasan letupan.

Katanya , berdasarkan maklumat pihak polis, siasatan teknikal berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, di sini, dijangka mengambil masa sehingga dua minggu.

Menurut beliau, masih terdapat beberapa kekangan termasuk faktor cuaca tidak menentu dan keadaan tanah masih tidak stabil yang menjejaskan siasatan itu.

“Kita sudah serahkan kepada pihak polis dan pasukan siasatan untuk menjalankan kerja penggalian bagi mengenalpasti bukti kejadian letupan itu.

Saya dimaklumkan bahawa jentera serta pasukan berkaitan bersedia menjalankan kerja 24 jam,” katanya

Beliau memberitahu demikian selepas menyalurkan bantuan pendidikan berupa wang tuai, komputer riba dan power bank kepada pelajar yang juga mangsa tragedi letupan saluran gas di Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, siasatan teknikal masih berada di peringkat awal dan hanya dijalankan melalui laporan atas kertas serta papan pemuka (dashboard).

“Pasukan teknikal menjangkakan kemungkinan pertengahan Mei baru kita boleh dapat satu gambaran jelas termasuk bukti konkrit mengenai punca sebenar letupan.

“Tapak itu masih tidak stabil dan mereka tidak boleh teruskan kerja-kerja siasatan sepenuhnya di lapangan atas faktor risiko keselamatan,” katanya.

Amirudin berkata, siasatan lanjut akan turut membabitkan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga Petronas.

Katanya, ia bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesahkan sama ada terdapat unsur jenayah dalam insiden terbabit.

Nn

Related posts

Leave a Comment