Polis buka kertas siasatan dakwaan kematian

SUBANG JAYA 10 April – Polis Selangor membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tular yang menyatakan terdapat kes kematian dalam insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, di sini, kata Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan.

Beliau memberitahu, siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran maklumat palsu.

“Polis menerima satu laporan daripada Pusat Kesihatan Daerah yang memaklumkan mengenai laporan tular di media sosial mengenai kematian yang didakwa berlaku dalam bencana ini.

Oleh itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah seksyen yang dinyatakan di IPD Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini.

Katanya, pihak polis akan menyiasat dengan teliti untuk memastikan sebarang maklumat yang tidak sahih atau berunsur fitnah dapat diambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan turut mengesahkan tidak menerima sebarang laporan kematian membabitkan insiden kebakaran saluran gas itu  seperti tular di media sosial.

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mengenai seorang mangsa meninggal dunia kerana melecur akibat insiden berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kerja-kerja pengorekan di kawasan kejadian atau ‘ground zero’ tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights di sini, masuk hari kesepuluh, dengan kedalaman kini mencapai 10 meter.

Hussein menjelaskan, paip gas yang meletup dikenal pasti berada pada kedalaman kira-kira tujuh meter dari permukaan tanah dan pengorekan tambahan tiga meter dilakukan bagi mendedahkan keseluruhan struktur paip untuk tujuan siasatan.

Proses pengorekan ini tidak dapat dijalankan secara tergesa-gesa kerana langkah keselamatan perlu diambil, termasuk membina teres untuk menyokong struktur tanah bagi memastikan ia tidak runtuh semasa pengorekan dilakukan.

“Walau bagaimanapun, tindakan proaktif telah diambil untuk menjalankan kerja-kerja tersebut 24 jam dengan penggunaan jentera yang lebih baik,”  katanya

Katanya, disebabkan kerja mengorek tanah masih berjalan, pasukan forensik belum dapat memasuki lokasi sebenar punca kejadian itu untuk melakukan analisis terperinci.

Beliau juga memberitahu,  setakat Khamis, polis menerima 755 laporan, kebanyakan melibatkan kerosakan rumah, kenderaan dan kecederaan yang dialami mangsa.di mana 172 percakapan daripada saksi direkodkan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment