27 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 7 Dis. – Sebanyak 27 kes baharu jangkitan Covid-19 direkodkan Brunei Darussalam hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes 15,229 orang dengan 197 kes aktif.

Menteri Kesihatan,  Dr. Md. Isham Jaafar berkata, terdapat tambahan 18 kes baharu kepada tujuh kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Katanya, dua kluster baharu iaitu kluster kediaman dikenal pasti yang melibatkan enam kes.

Katanya, salah satu kluster iaitu Kluster Massutera Engineering adalah kluster rumah yang menempatkan para pekerja syarikat berkenaan.

Enam kluster ditutup setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster I-Con Staff House; Kluster Mashor GC Staff House; Kluster Nurisman Sdn. Bhd.; Kluster 9124; Kluster 4163; dan Kluster Soon Lee Heavy Machineries. Oleh yang demikian, jumlah kluster yang aktif adalah sebanyak 107 kluster.

Sebanyak tiga kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan manakala 95 kes disahkan sembuh pada hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 14,932 kes.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, satu kes adalah dalam Kategori 5 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dan juga bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Terdapat satu kes lain,  dalam Kategori 4, iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen.

Sementara itu seramai 5,524 orang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada  6 Disember menjadikan 404,557 orang menerima satu dos vaksin iaitu 94.1 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Seramai 357,604 orang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, iaitu 83.2 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Liputan vaksinasi dalam kalangan penduduk berumur 60 tahun ke atas pula melebihi 98 peratus bagi kedua-dua dos, iaitu bagi mereka yang menerima satu dos dan bagi dua dos.

Related posts

Leave a Comment