GAZA – Sekurang-kurangnya 490 kanak-kanak terbunuh dalam tempoh 20 hari lalu, ketika rejim Zionis terus membedil Semenanjung Gaza, demikian menurut pejabat media Gaza yang mengecam pembunuhan beramai-ramai secara berterusan.
Pejabat itu menyifatkan, tindakan itu sebagai ‘satu daripada jenayah paling mengerikan terhadap manusia pada zaman moden’ dan menuduh Israel terus melakukan pembunuhan secara kejam terhadap orang awam, dengan kanak-kanak menjadi sasaran utama serangan udara.
“Sejak tempoh 20 hari lalu, Israel terus melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang mengejutkan terhadap kanak-kanak dengan 490 (kanak-kanak) mati syahid dalam siri serangan kejam.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan syahid dalam tempoh ini kepada 1,350 orang,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menolak dakwaan Israel bahawa kematian dalam kalangan orang awam hanyalah insiden terpencil, sebaliknya menegaskan angka itu mencerminkan dasar sistematik yang disengajakan dengan menyasarkan kanak-kanak Palestin, sekali gus melanggar undang-undang antarabangsa.
Hujung minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza, pada masa sama usaha turut dijalankan bagi melaksanakan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin dari kawasan itu.
Hampir 50,700 rakyat Palestin terbunuh di Gaza dalam serangan kejam Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoava Gallant, atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas jenayah perang terhadap kawasan itu.