Russia tolak cadangan AS tamat perang

MOSCOW – Russia menolak cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang di Ukraine dalam keadaan sekarang kerana apa yang dicadangkan gagal menangani isu-isu utama yang dianggap Moscow sebagai punca sebenar konflik.

Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov, menjelaskan cadangan AS masih belum memenuhi keperluan Russia.

Pendirian Moscow itu mengesahkan bahawa jurang perbezaan antara Washington dan Moscow masih belum dapat dirapatkan sejak Presiden Russia, Vladimir Putin memberi komen lebih dua minggu lalu.

Presiden AS, Donald Trump, pula dilaporkan kecewa dengan sikap Putin yang dilihat tidak bersedia atau tiada kesungguhan bagi mencapai persetujuan yang lebih menyeluruh.

Ryabkov menegaskan pihak Russia masih belum melihat asas kukuh untuk meneruskan proses rundingan dan menyatakan cadangan dari Washington masih belum boleh diterima dalam bentuk semasanya.

Beliau turut menambah, cadangan-cadangan itu tidak memberi ruang kepada tuntutan utama Russia, khususnya berkenaan punca asas konflik, yang menurutnya sama sekali tidak disentuh dan mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Sementara itu, Putin menegaskan beliau mahu Ukraine menggugurkan sepenuhnya cita-cita untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Related posts

Leave a Comment