KAJANG – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik sehingga 2.77 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Aidilfitri kali ini.
Dalam satu kenyataan, LLM menjangkakan 2.158 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS, 216,000 di Lebuhraya KL–Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (156,000), LPT Fasa 2 (70,000) dan 174,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat pada hari puncak.
Menurut LLM, aliran trafik keluar dari ibu kota dijangka meningkat bermula hari ini susulan cuti sekolah pada 2 hingga 4 April, manakala trafik kembali ke ibu kota dijangka meningkat pada 5 dan 6 April.
Bagi memastikan perjalanan lebih lancar di lebuh raya dan menangani kesesakan, LLM mengambil beberapa inisiatif seperti tiada penutupan lorong lebuh raya dilakukan kecuali bagi kerja kecemasan, dari 24 Mac hingga 7 April.
Selain itu, laluan ‘smart lane’ akan diaktifkan di 28 lokasi sepanjang lebuh raya PLUS bagi mengurangkan kesesakan dan di plaza tol yang dikenal pasti mengalami trafik tinggi selain menggunakan sistem kutipan tol berlapis.
Pihak lebuh raya juga akan menambah kapasiti tempat letak kenderaan dan tandas sementara di kawasan rehat bagi keselesaan pengguna.
“Bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi sepanjang tempoh perjalanan, LLM turut bekerjasama dengan pengusaha minyak untuk menjamin ketersediaan minyak di semua stesen minyak di sepanjang lebuh raya,” kata LLM.
Pada masa sama, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan dengan lebih awal menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik bagi Lebuhraya KL – Karak dan LPT Fasa 1.
LLM turut mengingatkan penunggang motosikal untuk menggunakan 472 lokasi ‘motorcycle shelter’ yang disediakan di sepanjang lebuh raya sekiranya berlaku cuaca buruk bagi memastikan keselamatan mereka.
LLM dan semua syarikat konsesi lebuh raya akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan pengguna lebuh raya sentiasa selesa dan selamat.
Bagi sebarang maklumat lanjut atau kemas kini trafik, pengguna boleh mengikuti media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi seperti di Facebook rasmi LLM di aplikasi X @llmtrafik serta tiktok @llmtrafik atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di 1-800-88-7752, yang akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh perayaan dari 28 Mac hingga 6 April.