KUALA LUMPUR 25 Max – Naib Ketua Wanita PKR, Faizah Ariffin mengesahkan akan turut serta bersaing merebut jawatan Timbalan Ketua Wanita parti pada pemilihan Mei ini, menjadikan tiga calon menawarkan diri setakat ini.
Sebelum ini, penyandangnya, Juwairiya Zulkifli dan bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis mengesahkan diri bertanding, mengulangi pertembungan tiga penjuru pada pemilihan 2022.
Pada pemilihan lalu, Napsiah dan Faizah tewas apabila hanya mendapat masing-masing 14,282 undi dan 11,071 undi berbanding Juwariya memperoleh 17,743 undi.
Faizah berkata, Wanita PKR memerlukan pimpinan yang boleh terus membawa suara dan aspirasi wanita ke pentas lebih tinggi, mengorak langkah dan memaknai perjuangan reformasi.
“Saya mengumumkan akan bertanding sebagai Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat. Bukan semata-mata inginkan jawatan, tetapi ini cabaran kepada diri saya untuk merangkul tanggungjawab lebih besar.
“Pemilihan ini adalah proses untuk memilih yang terbaik daripada yang terbaik. Ini adalah cerminan demokrasi yang subur dalam keluarga besar PKR. Selamat bertanding dan selamat mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jawatan Ketua Wanita PKR juga dijangka menyaksikan pertembungan sekali lagi antara dua pemimpin iaitu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
(Foto dari kiri Juwariya, Napsiah dan Faizah)
Nnn