12,000 kg lebihan makanan bazar diselamatkan

KUALA LUMPUR 25 Mac – Kempen Sifar Sisa @ Bazar Ramadan 2025 berjaya menyelamatkan hampir 12,000 kilogram (kg) lebihan makanan bernilai kira-kira RM139,000 daripada dibuang..

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),  Dr Zaliha Mustafa, berkata menerusi kempen itu juga sebanyak 24,061 kg sisa bukan makanan berjaya dikitar semula.

Katanya, kempen itu merangkumi dua program utama iaitu MySaveFood dan Program Pengasingan Sisa.

“Ia inisiatif penting dalam memperkasa usaha pengurangan sisa secara mampan dan memastikan lebihan makanan dimanfaatkan sebaiknya. Usaha ini bukan saja membantu golongan, malah turut mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 21,532.28 kilogram, memberi impak positif kepada alam sekitar,” katanya menerusi Facebook hari ini.

MySaveFood adalah kolaborasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PEMUDA GEMA MALAYSIA, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), peniaga bazar serta Remeal.

Malam tadi, beliau turut menghadiri Kempen Sifar Sisa @ Bazar Ramadan 2025 di Jalan Raja Alang, Kampung Bharu.

Dr Zaliha berkata, selain MySaveFood, program pengasingan sisa bertujuan memastikan lebihan makanan tidak dapat diselamatkan diurus dengan baik.

“Setiap kilogram diselamatkan bukan sekadar angka, tetapi satu langkah ke arah masa depan lebih lestari. Dengan kesedaran dan kerjasama semua pihak, kita mampu memikul tanggungjawab terhadap alam sekitar dan mengelak pembaziran,” katanya.

Related posts

Leave a Comment