KUALA LUMPUR 25 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengimport dan mengedarkan 1,053,011 juta biji kelapa tua atau 1,053 tan dengan nilai keseluruhan RM2.42 juta, setakat 23 Mac tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup berkata bekalan itu akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan kelapa di pasaran.
Katanya melalui pelan jangka masa pendek, KPKM melaksanakan tiga langkah intervensi iaitu meningkatkan jumlah import bekalan kelapa tua dari Indonesia, mencari dan mendapatkan bekalan kelapa tua dari Sabah dan Sarawak.
“Ketiga, inisiatif FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mendapatkan bekalan kelapa tua dari peladang dan pekebun kecil di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Koh Nai Kwong mengenai persediaan kementerian bagi memastikan negara tidak mengalami krisis bekalan kelapa pada masa akan datang.
Arthur berkata bagi pelan jangka panjang pula, KPKM amat menggalakkan penanaman kelapa secara meluas bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
NNN