KUALA LUMPUR 12 Mac – UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikai, meremeh atau mencabar apa yang disifatkan sebagai asas kestabilan negara, terutama kedudukan Islam dan keistimewaan Melayu-Bumiputera.
Setiausaha Agungnya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada masa yang sama UMNO tidak sesekali menafikan hak kebebasan beragama dan berbudaya yang dijamin Perlembagaan.
Justeru UMNO menyeru seluruh rakyat untuk mempertahankan prinsip Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai asas negara.
“Keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam sifat kemajmukan Malaysia mesti terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)l.
Katanya, mesyuarat MKT memandang serius perkembangan semasa yang melibatkan isu-isu berkaitan sensitiviti keagamaan, perkauman dan institusi Raja-raja Melayu hingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Baru-baru ini tercetus kontroversi membabitkan tiga penyampai radia Era FM yang didakwa menghina agama Hindu.
Tiga penyampai berkenaan telah memohon maaf manakala pengendali Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.
Manakala individu dikenali Vijayan Savarinathan dalam sebuah video di Facebooknya dilihat menghina Islam, dipercayai sebagai reaksi terhadap kontroversi itu dan kemudiannya memuat naik satu lagi video permohonan maaf susulan tindakan tersebut.
Sementara itu, Asyraf juga memberitahu, MKT menetapkan Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan berlangsung dari 20 hingga 23 Ogos depan.
“Bagi Persidangan UMNO cawangan pula, akan diadakan pada 7 April hingga 25 Mei depan, sementara bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan berlangsung pada 9 Jun hingga 27 Julai 2025,” katanya.