PUTRAJAYA – Baitulmuqaddis yang dikenali sebagai Al-Quds, bukan hanya milik penduduk setempat tetapi adalah untuk seluruh umat Islam, kata Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri.
Justeru beliau mengajak dunia Islam termasuk rakyat Malaysia untuk sama-sama ‘meninggalkan jejak’ di bumi suci itu.
Dalam tausiyahnya selepas solat Maghrib, beliau berkata, Al-Quds sangat memerlukan sokongan daripada negara Arab dan umat Islam bagi membantu setiap projek yang bertujuan mengukuhkan keislaman kota itu.
“Ia juga untuk menyokong mereka yang tinggal di bumi Al-Quds yang menjaga dan memelihara bandar suci ini yang disucikan oleh Allah SWT dari langit tinggi,” katanya pada Majlis Ilmu Madani, di Masjid Putra di sini.
Terdahulu beliau mengimamkan solat Maghrib, dan kemudiannya solat Isyak. Turut hadir Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau menjelaskan, status Masjid Al-Aqsa di Al-Quds adalah sama seperti Masjidilharam di Tanah Suci Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Allah SWT sudah menetapkan keislaman bumi Palestin dari lautan, samudera hingga ke sungai untuk bumi ini diwakafkan kepada seluruh umat Islam.
Oleh itu, undangan (sumbangan) ini terbuka bukan saja kepada negara-negara Arab, malah kerajaan-kerajaan lain untuk meninggalkan jejak mereka ataupun meletakkan kesan mereka di bumi Al-Quds… kerana Al-Quds bukan hanya untuk penghuni Al-Quds tetapi untuk seluruh umat Islam,” katanya.
Sheikh Dr Ekrima turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kesudian menyediakan bantuan berbentuk wakaf bagi pembangunan pendidikan dan kesihatan di Baitulmuqaddis, Palestin.
Beliau berkata bantuan berkenaan akan menyumbang kepada projek kemasyarakatan, seperti membantu anak yatim, membangunkan hospital, membina masjid dan menjaga tanah perkuburan di bumi suci Allah itu.
“Melalui wakaf, kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal kebaikan,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang mengaturkan inisiatif positif untuk Baitulmuqaddis .
“Semoga Allah SWT membalas jasa Perdana Menteri atas langkah yang positif dan semoga Allah SWT memberi kebaikan kepada bumi Malaysia dalam meneruskan kesinambungan, kebaikan, keamanan dan kedamaian di negara ini,” katanya.
Anwar sebelum itu, dalam ucapannya mengumumkan Malaysia akan menyediakan bantuan khusus bagi pendidikan serta kesihatan di Baitulmuqaddis selain pemulihan di Gaza.
Anwar berkata bantuan menerusi instrumen wakaf itu dilaksanakan selaras permohonan Sheikh Dr Ekrima yang mahu negara ini membantu kemajuan di Baitulmuqaddis.
Beliau berkata bantuan itu adalah bagi Universiti Al-Quds, madrasah, sekolah termasuk hospital di Baitulmuqaddis.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan meneruskan agenda memperjuangkan Palestin dan rakyatnya, termasuk hak Al-Aqsa dan Baitulmuqaddis .
Katanya, rakyat negara harus bersatu meneruskan agenda itu dengan menunjukkan iltizam dan tanggungjawab, sekali gus membantu meringankan beban penduduk Palestin.
Mengenai kehadiran Sheikh Dr Ekrima pula, Anwar berkata, kehadiran imam itu sebagai seorang alim, masyhur dan juga imam serta khatib yang menjadi pertahanan Masjid Al-Aqsa di bumi bertuah Baitulmuqaddis.
“Beliau mewakili satu kawasan yang mempunyai sejarah gemilang. Sejarah Isra’ Mikraj, sejarah Salahuddin Al-Ayyub Al-Khattab. Ia juga sejarah yang gelap dalam dunia kerana pencerobohan, kezaliman, penjahat oleh Zionis Israel,” katanya.
Nnnn