Netanyahu arah tingkat operasi

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan pihak tentera meningkatkan operasi di Tebing Barat ketika beliau melawat pasukan tentera Israel di wilayah itu,semalam.

Lawatan Netanyahu ke kem pelarian Tulkarem di utara Tebing Barat dibuat selepas berlaku letupan ke atas beberapa buah bas, Khamis lalu.

Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Netanyahu mengarahkan lebih banyak operasi di utara Tebing Barat dilakukan sebagai tindak balas terhadap insiden letupan berkenaan.

Beberapa hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari lalu, Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar di utara Tebing Barat yang dinamakan “Tembok Besi”, membabitkan beberapa kem pelarian berhampiran bandar Jenin, Tulkarem dan Tubas.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejak serangan itu bermula, sekurang-kurangnya 51 rakyat Palestin, termasuk tujuh kanak-kanak, serta tiga askar Israel terbunuh.

Kementerian Luar Palestin menuduh Netanyahu “menyerbu” kem pelarian Tulkarem.

Lawatan Netanyahu dibuat selepas tiga bas meletup di bandar Bat Yam. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Menurut Ketua Polis Wilayah Tengah Israel, Haim Sargarof, dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen, bahan letupan yang digunakan dalam serangan itu menyerupai yang ditemui di Tebing Barat.

Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak perang di Gaza meletus pada Oktober 2023.

Nnn

Related posts

Leave a Comment