Tarif baharu elektrik sedang dimuktamadkan

KUALA LUMPUR 19 Feb.  – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan tarif baharu elektrik yang akan dilaksanakan Julai depan, kata Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tarif baharu elektrik akan dilaksanakan dengan mengambil kira input serta pandangan pemegang taruh yang diperoleh menerusi sesi libat urus pada 13 Januari dan 5 Februari lalu.

“Kementerian memberi jaminan penetapan tarif elektrik di Semenanjung dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Ini bagi memastikan 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung dan pengguna dalam kategori Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal dilindungi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata kerajaan meluluskan 136 projek tebatan banjir bernilai RM22.86 bilion melalui Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Daripada jumlah itu, katanya, 35 projek dalam peringkat prapelaksanaan dan 73 projek dalam pelaksanaan.

Bagi RP5 sehingga tahun ini, sebanyak 50 pelan induk tebatan banjir disiapkan manakala enam pelan sedang dibangunkan dam tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan bermula Jun ini.

“Rancangan tebatan banjir termasuk projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi (TBBT) adalah pendekatan secara struktur yang dilaksanakan merangkumi skop membina dan menaik taraf pelbagai infrastruktur banjir.

“Ia antaranya ban, struktur kawalan, rumah pam, pintu air dan kolam takungan termasuk kerja melebar dan mendalamkan sungai,” katanya.

Fadillah berkata, pelan induk tebatan banjir adalah pendekatan bukan struktur dilaksanakan kementerian secara berperingkat sebagai penyelesaian banjir menyeluruh.

Katanya, kementerian juga melaksanakan penyelenggaraan pengoperasian dan kecemasan luar jangka bertujuan memulihara struktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dengan kos RM540 juta.

Skop utama projek ini termasuk kerja pemulihan saliran, parit, jalan, jambatan, struktur kawalan, pembetungan dan pesisiran pantai yang terhakis.

Nnn

Related posts

Leave a Comment