MAE SOT, Thailand – Polis Thailand menyelamatkan seorang remaja lelaki warga Jepun berusia 16 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan rentas sempadan di Myanmar.
Remaja berkenaan dilaporkan hilang sejak Disember lalu, sebelum keluarganya membuat laporan kepada Kedutaan Jepun di Bangkok.
Seorang pegawai kanan polis Thailand memberitahu, pihak berkuasa Jepun meminta bantuan untuk mencari tiga lagi warganegara mereka yang dikaitkan dengan kumpulan penipuan yang beroperasi di Myawaddy, di tenggara Myanmar.
Pihak berkuasa Thailand menganggarkan sekitar 7,000 individu, kebanyakannya dari Afrika dan China, diperdagangkan ke Myanmar timur, berhampiran sempadan Thailand, untuk terbbait dalam penipuan dalam talian.
Banyak negara meminta bantuan Bangkok bagi menjejaki rakyat mereka yang hilang.
Myawaddy, yang hanya dipisahkan dari Mae Sot oleh sebatang sungai, dikawal oleh kumpulan etnik bersenjata yang mempunyai hubungan rapat dengan tentera Myanmar.
Bandar sempadan itu terkenal dengan aktiviti jenayah dan menjadi pusat operasi sindiket penipuan.
Remaja itu berjaya menghubungi keluarganya awal bulan ini, membolehkan pihak berkuasa mengesan lokasinya di Myawaddy. Dia diselamatkan beberapa hari lalu dan diterbangkan pulang ke Jepun kelmarin.
Dalam kes berasingan, seorang lagi remaja Jepun berusia 17 tahun turut diselamatkan bulan lalu selepas diperdaya oleh seorang lelaki Jepun berusia 29 tahun yang dikenalinya melalui permainan dalam talian.
Lelaki itu kini ditahan oleh pihak berkuasa Thailand pada Khamis
Nnnn