Gaduh isu harga, 2 lelaki ditahan

PASIR GUDANG 29 Jan. –  Dua lelaki berusia antara 21 hingga 28 tahun ditahan di Taman Johor Jaya, di sini, kira-kira pukul 6 petang semalam, selepas terbabit dalam pergaduhan dipercayai berpunca daripada isu harga barang mahal.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan kira-kira jam 11.30 malam kelmarin itu akibat salah faham antara peniaga dan pelanggan kerana isu harga barang mahal.

Katanya, polis menjalankan siasatan selepas tular rakaman video berdurasi satu minit 41 saat yang dimuat naik di media sosial menunjukkan tiga individu bergaduh di kawasan Taman Johor Jaya.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Januari bagi membantu siasatan manakala seorang lagi sedang dikesan.

Beliau juga memberitahu, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, bagaimanapun ujian saringan air kencing ke atas mereka negatif dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar selain Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hamizan di talian 010-4338032 atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3871422,” katanya.

Related posts

Leave a Comment