SHAH ALAM 28 Jan. – Operasi perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan pagi ini ekoran terlanggar lima lelaki yang menceroboh masuk ke landasan kereta api di kilometer 34.734 antara Teluk Pulai Klang.
Dalam kejadian itu, seorang penceroboh dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi mengalami cedera ringan.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan berkata, tren komuter No 2110 itu berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada pukul 6.39 pagi dengan kapasiti 200 penumpang terpaksa berhenti akibat terlanggar penceroboh berkenaan.
Penumpang kemudiannya dibawa ke Stesen Klang diiringi anggota Polis Bantuan dan kakitangan KTMB yang bertugas untuk menaiki bas perantara yang disediakan di stesen untuk ke Stesen Subang Jaya.
Tren terbabit mengalami kerosakan dan menyebabkan kelewatan melebihi 60 minit.
“Lokomotif bantuan dihantar untuk membawa tren komuter yang terjejas bagi membolehkan kerja pengalihan mayat seorang dari lima individu yang menceroboh dilakukan supaya perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.
Penumpang yang terjejas untuk tren berikutnya juga dibawa menaiki bas perantara percuma yang disediakan ke Stesen Subang Jaya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” kata kenyataan itu.
Sementara itu Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha menegaskan, landasan kereta api adalah kawasan larangan dan individu yang menceroboh landasan boleh didenda RM500 mengikut Seksyen 126, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam pada itu, mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan.
Nnn