KLANG 26 Jan. – Pembatalan projek rintis Waktu Berkerja Berlainan (WBB) untuk pegawai perubatan bukanlah satu keputusan “flip-flop” oleh kerajaan kerana ketika itu, tiada keputusan muktamad dibuat mengenainya.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, ketika dibatalkan projek rintis yang bertujuan mengurangkan beban dan tekanan kerja pegawai perubatan itu masih dalam peringkat percubaan.
“Sejak awal, saya lihat sendiri keadaan ‘burnout’ dalam kalangan doktor. Ada yang bekerja berlebihan hingga melebihi 33 jam. Mungkin ramai tidak tahu, tetapi dalam bidang dan disiplin tertentu, mereka bekerja melebihi 33 jam,” katanya.
Dr Dzulkefly yang juga Naib Presiden Parti Amanah berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Nasional Amanah 2024, hari ini.
Seramai 10 ketua pakar dilantik menganggotai Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC) bagi projek WBB yang mana mereka mengambil masa hampir setahun untuk mencerakinkan satu penjadualan baharu.
Bagaimanapun, isu (berkaitan WBB) timbul apabila surat mengenai sistem itu bocor yang mana ia masih di peringkat ‘proof of concept’ di lima hospital.
Apabila ia didedahkan kepada umum, doktor seluruh negara yang tidak terbabit dalam proses itu mula mempersoalkan mengapa mereka tidak diajak berbincang.
“Saya kemudian mengambil pendirian membawa perkara ini ke Kabinet kerana tidak boleh membuat keputusan sendiri. Keputusan Kabinet adalah untuk membatalkannya.
“Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan ‘flip-flop’ kerana tiada keputusan muktamad mengenai WBB dibuat (pada waktu itu). Jawatankuasa masih menjalankan kajian dan kebocoran surat itu adalah satu kesilapan,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, pembatalan projek rintis WBB itu adalah keputusan tegas kerajaan untuk memastikan doktor seluruh negara akan dilibatkan dalam sesi perbincangan pada masa hadapan.
“Saya akan memastikan perundingan menyeluruh dijalankan semasa merangka dasar atau meminda akta. Insya-Allah, kita tidak akan ‘flip-flop’ (mengenai dasar) tetapi terus bergerak ke hadapan,” tegas beliau.
Jumaat lalu, Kabinet memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Abu Bakar Suleiman.
Nnnn
