PM tiada halangan perhimpunan antirasuah

SEPANG 24 Jan. – Kerajaan tidak menghalang orang ramai menganjurkan perhimpunan antirasuah dengan syarat mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),  kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau juga tiada bantahan terhadap perhimpunan aman bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ yang dijadualkan berlangsung esok di hadapan kompleks beli belah, Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur esok.

“Kebenaran sudah diberikan. Menteri Dalam Negeri sebut, kebenaran diberikan cuma ada tempat-tempat yang kemudian yang tidak diberi kebenaran.

Bagi saya tak ada masalah, buatlah, bantahlah (rasuah). Soalnya rasuah yang dibangkit-bangkit ini yang sekarang, saya jadi Perdana Menteri selama dua tahun, apa dia masalah rasuah? Ini yang boleh ditumpukan,” katanya selepas menghadiri solat Jumaat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil di sini hari ini.

Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mengingatkan penganjur perhimpunan di ibu negara yang berlangsung esok mematuhi setiap peruntukan termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Manakala jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menekankan keperluan bagi penganjur sesebuah perhimpunan mendapatkan kebenaran daripada pemilik tapak kerana ia jelas dinyatakan dalam undang-undang.

Ketua Polis Kuala Lumpur  Rusdi Mohd Isa pula berkata penganjur sudah menghantar notis terbabit, namun dikembalikan kerana tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.

Beliau berkata lokasi perhimpunan, iaitu di Dataran Merdeka dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memerlukan kebenaran pihak terbabit.

Perhimpunan itu dikatakan susulan kepada perhimpunan Ambang Tahun Baharu yang diadakan di Sabah baru-baru ini, yang dianjurkan oleh golongan pelajar untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah.

Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal bagi memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat dilaksanakan dengan teratur, tanpa mengganggu ketenteraman awam.

Anwar berkata, perkara yang dibangkitkan ketika perhimpunan itu adalah isu lama yang sebahagiannya sudah diselesaikan.

“Dia (mereka) bangkit soal lama, yang sebahagiannya kita sudah selesaikan, sebahagian tidak mampu kita selesai. Apabila kita membangkitkan soal kehilangan berbilion-bilion, tiada pula mahu bersuara, tiada yang sokong, malah ada yang mempertahankannya.

“Kalau kamu orang kaya berbilion ringgit, ramai penyokong-penyokong. Pertahankan. Sekarang nak suruh lawan rasuah. Saya ‘komited’, kalau ada mana-mana pimpinan terbabit, beritahu, tiada masalah, kita akan tekan mereka.

“Tidak ada masalah dan ini juga saya tekankan tadi dalam mesyuarat Jemaah Menteri, ini (dia) dibangkitkan soal-soal lama yang ditutup masa mereka (kerajaan terdahulu),” katanya.

Beliau juga menegaskan pimpinan kerajaan yang terbabit rasuah akan berdepan tindakan malahan perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment