TIDAK sampai seminggu menjelang Tahun Baharu Cina 2025, ‘nasib pengguna tol’ khususnya yang mahu pulang bercuti dijangka diketahui mungkin hari ini. Kita tunggu formulanya. Apa yang pasti tidak semua akan dikecualikan daripada bayaran tol.
Kerajaan Perpaduan akan menggunakan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan. Mungkin pengguna kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati tidak layak mendapat tol percuma.
Ketika di Davos, Switzerland, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan.
Langkah itu selaras dengan usaha penyelarasan subsidi sebelum ini, yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40, tanpa membabitkan semua pihak secara menyeluruh. Harapan masih ada untuk golongan B40 dan M40.
Penjelasan Anwar yang juga Menteri Kewangan lebih baik berbanding reaksi serta merta pelbagai pihak yang cuba “mempertahankan”kenyataan Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berhubung tol percuma.
Nanta Linggi dalam kenyataannya menjelaskan bahawa keputusan untuk menamatkan perjalanan bebas tol semasa musim perayaan adalah sejajar dengan dasar Kerajaan Perpaduan menamatkan subsidi menyeluruh.
Ia akan digantikan dengan subsidi yang disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan golongan rentan.
Hakikatnya, Kabinet pada tahun lalu telah memutuskan bahawa untuk perjalanan bebas tol semasa musim perayaan, tahun 2024 akan menjadi tahun terakhir, selepas 2023 juga pengguna diberi pelepasan tol musim perayaan.
Malangnya ada juga pihak yang ghairah mempersoalkan kenapa tidak ada tol percuma pada Tahun Baharu Cina sedangkan perayaan lain ada?
Sedarlah, kita sudah memasuki tahun 2025. Maknanya setiap perayaan yang disambut sebelum ini sudah menikmati tol percuma pada 2023 dan 2024. Jangan cuba cetuskan isu kontroversi yang cenderung ke arah perkauman.
Maka keputusan yang diumumkan oleh Nanta Linggi itu bukan sesuatu yang baharu tetapi ia mencetuskan polemik serta ‘sindiran tajam’ disebabkan ramai atau secara keseluruhan pengguna lebuh raya bertol masih dalam igauan atau bermimpi.
Kebanyakan masih menaruh harapan agar igauan atau mimpi mereka untuk melihat plaza tol ‘diruntuhkan’ seperti yang pernah dicanangkan sebelum ini menjadi kenyataan, bukan sekadar tol percuma setiap kali musim perayaan atau diskaun bersasar. Itu saja harapan mereka.
Hakikatnya menghapuskan tol sama sekali adalah sesuatu yang mustahil. Kecuali pemimpin Kerajaan Perpaduan mempunyai formula yang mantap, yang tidak tercapai oleh kerajaan terdahulu, lebih tepat Barisan Nasional (BN).
Justeru formula yang ada setakat ini hanyalah bersasar. Cuma adakah bersasar itu sekadar pada musim perayaan?
Bercakap dan berjanji memang mudah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hakikatnya seperti kata jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil: “Kita perlu menghormati konsesi lebuh raya yang telah ditandatangani,”.
Tetapi kata Fahmi lagi : Walau bagaimanapun, pada masa sama kita sedang mengkaji konsesi-konsesi ini untuk melihat apa yang boleh dilakukan bagi membantu rakyat dengan kos sara hidup,”.
Justeru, keazaman untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya itu penting. Tol percuma atau tidak bukan penyumbang utama kesesakan di jalan raya atau lebuh raya. Di Malaysia asal cuti saja sesak. Malahan pada hari biasa juga sesak.
Cuba selak kembali pada 2023, kerajaan bersetuju memberikan tol RAHMAH percuma selama empat hari melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan untuk dinikmati semua pengguna jalan raya bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Anwar ketika mengumumkan demikian berkata: “Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik,”
Ketika tiba Tahun Baharu Cina pula Anwar umumkan ‘berita baik’ pengecualian bayaran tol kepada pengguna lebuh raya seluruh negara melibatkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Januari melibatkan peruntukan RM40 juta.
“Ini bagi memudahkan rakyat bukan hanya berbangsa Cina tetapi juga Melayu dan India untuk pulang bercuti,” kata Anwar ketika itu.
Selak pula pada 2024. Nanta Linggi ketika mengumumkan tol percuma sempena Deepavali menjelaskan kos pemberian tol percuma dianggarkan RM38 juta akan ditanggung kerajaan dengan bayaran pampasan kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Pemberian tol percuma ini selaras dengan teras utama kerajaan Malaysia Madani iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Sempena Hari Raya Aidilfitri pula, Nanta Linggi mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April 2024 dengan peruntukan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta.
“Keputusan ini adalah melalui Mesyuarat Jemaah Menteri bertujuan meraikan kesemua rakyat terutama masyarakat beragama Islam yang menyambut Aidilfitri dan sebagai tanda prihatin serta sama-sama berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia,” katanya.
Jelaslah pemberian tol percuma bukanlah untuk menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya bertol sebaliknya untuk ‘meraikan’ rakyat Malaysia yang menyambut perayaan. Tetapi jika sesak diambil kira, amat berbaloi tol percuma kerana pada musim perayaan, lebuh raya umpama jalan raya di kampung.
Dan satu perkara lagi apalah sangat pampasan sehingga RM40 juta berbanding berbilion RM yang Kerajaan Perpaduan peroleh hasil pelaburan yang berjaya dibawa masuk. Yang penting, dapat sedikit lebih baik daripada tiada.
Selamat Tahun Baharu Cina!
nnn
