TANJONG 23 Jan. – Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.
Pembayaran ganti rugi itu dibuat melalui penyerahan cek kepada peguam tiga pemimpin itu, Sankara Nair pada Rabu.
Ahli Parlimen Pas itu mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar ganti rugi keseluruhan dan kos berjumlah RM825,000 termasuk faedah kepada ketiga-tiga plaintif dengan menyerahkan cek kepada Sankara Nair, sementara menunggu rayuan kes.
“Kami akan mengeluarkan surat ikatan kepada defendan untuk tindakan lanjut dan menunggu perbicaraan Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi aplikasi Zoom Meeting yang diadakan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang turut dihadiri peguam Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff.
Sebelum ini, tiga pemimpin DAP itu menyaman Siti Mastura berhubung ucapannya dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Kemaman, yang mana saman tersebut difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP, Guan Eng, bapanya, Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selaku plaintif pada 27 November tahun lalu.
Menerusi penyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta mendiang Kuan Yew.
Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November 2023, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.
Bagaimanapun, dalam pembelaannya yang difailkan pada Januari lalu, Siti Mastura mempertahankan kenyataannya bahawa ia dibuat berdasarkan fakta melalui buku panduan ‘BN Comms’ yang membuat penyelidikan mendalam, diterbitkan Barisan Nasional untuk pemimpin partinya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Susulan perintah mahkamah itu, bagi mengelakkan Mastura diisytiharkan bankrap seterusnya hilang kelayakan Ahli Parlimen, Pas berusaha mengumpul dana dalam kalangan ahlinya bagi mengelakkan pilihan raya kecil yang kosnya lebih tinggi.
Nnn