NEW YORK – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), yang dipilih semula, Donald Trump, dilepaskan tanpa syarat di New York semalam selepas disabitkan dengan 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan.
Menurut laporan media, Trump menjadi presiden pertama dihukum atas pertuduhan jenayah, menghadiri prosiding itu secara maya dari kediamannya di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida.
Sabitan ke atas Trump berpunca daripada cubaan menyembunyikan pembayaran yang dibuat bagi menutup mulut pelakon filem lucah, Stormy Daniels, semasa kempen pertamanya untuk jawatan presiden.
Media melaporkan, keputusan hukuman itu adalah mengikut cadangan pihak pendakwaan.
Walaupun Trump telah dirujuk sebagai seorang pesalah jenayah sejak mahkamah menjatuhkan keputusan sebulat suara pada musim bunga lepas, secara rasmi, beliau perlu menjalani hukuman untuk melengkapkan sabitannya.
Hukuman dilepaskan tanpa syarat memenuhi keperluan itu.
Hakim Mahkamah Agung New York, Juan Merchan, semasa menjatuhkan hukuman, berkata kes itu adalah luar biasa tetapi sebaik sahaja pintu mahkamah ditutup, perbicaraan ini tidak lagi istimewa, unik, atau luar biasa berbanding 32 kes lain di mahkamah itu.
Merchan, yang pada Isnin memutuskan untuk tidak menangguhkan lagi pendengaran hukuman, turut menyatakan bahawa beliau tidak akan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Trump.
Pendakwa raya, Joshua Steinglass, mencadangkan hukuman lepas tanpa syarat, yang bermaksud Trump tidak akan dipenjara atau diletakkan di bawah parol.
Trump sebelum ini berdepan kemungkinan hukuman penjara, tahanan rumah, atau menjalani tempoh percubaan.
Steinglass berkata Trump telah berusaha untuk merosakkan kredibiliti sistem kehakiman sejak beliau disabitkan dan menunjukkan tiada rasa penyesalan atas jenayah yang dilakukan.
Ketika giliran pembelaan untuk bersuara, Trump sekali lagi mengulangi dakwaan lazimnya bahawa siasatan terhadapnya ‘bermotifkan politik’.