Pengalaman Ketua Pengarah WHO

SANAA – “Saya risau mengenai dunia kita, ke mana hala tujunya,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus selepas pengalaman ngerinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa kelmarin.

Terdahulu beliau berdepan pengalaman dalam serangan udara yang dilancarkan Israel terhadap lapangan terbang utama Yaman, ketika siri serangan ke atas kumpulan Houthi.

Belau seperti dilaporkan media tidak pasti akan selamat dalam serangan itu berkata, letupan yang menggegarkan bangunan itu begitu kuat sehingga dengungan telinganya masih berterusan.

Tedros berkata, keadaan huru-hara di lapangan terbang dengan cepat menjadi jelas sebagai serangan, menyebabkan orang ramai lari bertempiaran selepas kira-kira empat letupan, salah satunya terlalu hampir dengan tempat beliau duduk di ruang berlepas.

Tedros dan rakan-rakannya terkandas di lapangan terbang selama kira-kira sejam ketika apa yang difikirkannya sebagai dron terbang di udara, meningkatkan kebimbangan bahawa mereka mungkin melepaskan lagi tembakan.

Di antara runtuhan, beliau dan rakan-rakan melihat serpihan peluru berpandu.

“Tiada tempat perlindungan langsung. Tiada apa-apa. Anda hanya terdedah dengan bahaya, menunggu apa sahaja yang bakal berlaku,” katanya.

Tedros berada di Yaman sempena Krismas untuk berunding bagi membebaskan kakitangan PBB dan individu lain yang ditahan di sana.

Beliau mengakui bahawa beliau dan rakan-rakan sedar mengenai risiko perjalanan itu memandangkan ketegangan tinggi antara Israel dan Houthi namun peluang untuk bekerja demi pembebasan kakitangan PBB berkenaan menyebabkan mereka berasakan tugas itu harus dilakukan.

Katanya, perbincangan dengan pihak berkuasa Yaman berjalan lancar dan melihat peluang bahawa 16 kakitangan PBB serta pekerja misi diplomatik dan NGO yang ditahan dapat dibebaskan.

“Lapangan terbang awam sepatutnya dilindungi, sama ada saya berada di situ atau tidak dan tiada apa-apa yang istimewa mengenai apa yang dialami di Yaman,” katanya yang melihat dunia berada dalam keadaan yang begitu berbahaya.

Justeru beliau menyeru pemimpin dunia untuk bekerjasama mengakhiri konflik global.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment