KUALA LUMPUR 27 Dis. – Kerajaan belum memutuskan kadar tarif elektrik baharu yang dijangka dilaksanakan mulai Julai 2025 di bawah pelaksanaan Tempoh Kawal Selia 4 (RP4).
Ketua Pegawai Kewangan (Divisyen Kewangan Kumpulan) Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Nazmi Othman berkata, keputusan mengenai jadual tarif elektrik baharu itu dijangka diputuskan kerajaan selewat-lewatnya Jun depan.
Justeru, sehingga dimuktamadkan, jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014, akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan.
Beliau berkata, pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses kajian semula untuk memuktamadkan jadual tarif baharu. Kerajaan mempunyai masa yang mencukupi untuk memutuskan jadual tarif baharu itu.
“Dasar semasa masih kekal dengan 85 peratus pengguna domestik masih kekal dilindungi daripada sebarang perubahan tarif elektrik,” katanya pada taklimat media mengenai pelaksanaan RP4, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nazmi berkata, TNB pada Khamis memaklumkan di Bursa Malaysia bahawa kerajaan telah meluluskan pelaksanaan RP4 bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh Januari 2025 hingga Disember 2027.
Beliau berkata, keputusan itu dimaklumkan melalui surat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) kepada TNB bertarikh 24 Disember 2024.
Jelasnya, makluman di Bursa Malaysia itu adalah bagi memenuhi keperluan mandatori berikutan kelulusan kerajaan melaksanakan RP4.
Nazmi memaklumkan bawah RP4, perbelanjaan modal yang dibenarkan ialah RM42.821 bilion, terdiri daripada perbelanjaan modal asas sebanyak RM26.554 bilion dan perbelanjaan modal luar jangka RM16.267 bilion.
Beliau berkata, perbelanjaan operasi yang dibenarkan ialah sebanyak RM20.782 bilion, yang menyokong perancangan dan pelaksanaan aktiviti operasi serta penyelenggaraan diperlukan untuk semua infrastruktur elektrik TNB.
Katanya, kadar pulangan kawal selia dikekalkan pada 7.3 peratus seperti bawah RP3.
Pada 20 Disember 2024, kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung menerusi pelaksanaan kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan, keputusan yang dibuat pada 13 Disember lalu itu adalah komitmen kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi menerusi pelaksanaan subsidi secara bersasar.
Secara keseluruhan, katanya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai oleh kerajaan kali ini adalah sebanyak RM2.388 bilion.
PETRA percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar adalah pendekatan terbaik pada masa ini supaya mengurangkan komitmen subsidi kerajaan agar peruntukan terbabit dapat disalurkan dalam bentuk bantuan lain kepada rakyat.
Nnnn
