Andalusia tawar 4 pakej haji tahun depan

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menawarkan empat pakej haji bagi musim 1446H/2025M dengan harga serendah RM43,990 dan tertinggi RM102,990.

Pengerusi Eksekutifnya, Md Daud Che Ngah berkata, berbanding tahun lalu, pihaknya hanya menawarkan tiga pakej iaitu Malak, Olayan dan Safwah manakala Marsa satu pakej baharu yang ditawarkan untuk jemaah musim depan.

Katanya pengenalan pakej baharu itu, susulan Andalusia mendapat hotel baharu yang menawarkan harga yang mampu dipenuhi Andalusia.

“Tahun lepas kadar terendah kita adalah RM44,900 tetapi sekarang ini jadi RM43,990. Ertinya kira-kira lima peratus lebih rendah berbanding tahun lepas,” katanya selepas melancarkan Pakej Haji Andalusia 1446H/2025M di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours, Ibrahim Mat Sin dan Pengarah Pemasaran Digital Andalusia, Izzati Ibrahim.

Menurut Md Daud, semua pakej yang ditawarkan itu juga tidak mengalami peningkatan harga dengan tempoh 40 hingga 45 hari mengerjakan haji termasuk ziarah di Madinah.

Katanya, jika mengikut kadar agensi pelancongan, mereka memohon kepada pihak berkuasa untuk meletakkan pada harga RM55,000 disebabkan kos yang telah meningkat.

“Bagaimanapun, Andalusia masih lagi berpegang kepada harga yang kita mampu iaitu RM43,990,” katanya.

Memperincikan pakej itu, Md Daud berkata, bagi pakej Marsa, dengan jarak hotel dan Dataran Masjidilharam lebih kurang 310 meter, harga yang ditawarkan RM43,990 (5 orang sebilik); RM46,990 (4 orang sebilik); RM53,990 (3 orang sebilik).

Pakej Malak pula menawarkan hotel dengan jarak dataran masjid lebih kurang 470 meter bernilai RM46,990 (4 orang sebilik); RM53,990 (3 orang sebilik); RM59,990 (2 orang sebilik).

Bagi pakej Olayan dengan jarak hotel dan dataran masjid lebih kurang 220 meter, harga pakej adalah RM56,990 (4 orang sebilik); RM60,990 (suite 3/4 orang – dua bilik kongsi satu bilik air); RM64,990 (3 orang sebilik); RM72,990 (2 orang sebilik).

Dengan jarak penginapan dan dataran masjid lebih kurang 50 meter, pakej Safwah menawarkan harga RM77,990 (5 orang sebilik); RM81,990 (4 orang sebilik); RM89,990 (3 orang sebilik) dan RM102,990 (2 orang sebilik).

Mengenai jumlah bakal jemaah yang akan dibawa, Md Daud berkata, ia tertakluk kepada pemakluman daripada Tabung Haji (TH).

“Jumlah yang kita memohon kalau boleh 1,000 orang tetapi kita tak boleh nak cakap berapa ramai disebabkan pemberian (jumlah jemaah) bergantung kepada kelulusan diberikan oleh TH,” katanya.

Pada musim lalu, Andalusia membawa 701 jemaah dan pada musim ini sebanyak 37 agensi pelancongan/umrah menerima kelulusan TH sebagai pengendali jemaah haji berbanding 25 agensi musim lalu.

Beliau berkata, pendaftaran pakej itu bermula pada hari ini sehingga selepas bulan Ramadan tahun hadapan.

Mereka yang mendaftar awal juga bakal memperoleh diskaun iaitu pakej Marsa dan Malak berpeluang memperoleh diskaun sebanyak RM1,500 seorang, Olayan RM2,000 dan Safwah RM3,000.

Nnn

Related posts

Leave a Comment