Media disaran tubuh koperasi jana pendapatan

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), menyarankan institusi media menubuhkan koperasi masing-masing sebagai salah satu platform bagi menjana sumber pendapatan..

Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Ahmad Norihan Jalal berkata, SKM  sedia membantu media dari segi pengurusan koperasi dan menjadikannya sebagai wadah perniagaan.

Beliau berkata, dengan adanya koperasi sekurang-kurangnya dapat mengeratkan persahabatan yang ada semasa bekerja sebagai pengamal media.

“Apabila kita berhenti maka (koperasi) ini menjadi satu platform untuk kita menjana pendapatan,” katanya pada program Meet and Greet – SKM X Media 2024 di sebuah hotel di sini yang dihadiri lebih 70 petugas media.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar, serta Naib-naib Ketua Pegawai Eksekutif Siti Azlin Ahmad Dauta (Operasi dan Kawal Selia), Azam Sulaiman (Dasar dan Pembangunan) dan Rozdeen Mohd Jaafar (Pengurusan).

Menurut Ahmad Norihan, walaupun mempunyai potensi untuk berkembang, namun jumlah koperasi yang ditubuhkan oleh komuniti media masih lagi kurang di negara ini.

“Saya tidak ada data tepat tetapi dalam 16,800 koperasi di Malaysia, saya rasa (koperasi melibatkan media) mungkin kurang daripada satu peratus.

Potensi untuk media bersama koperasi ini adalah cerah kerana mereka sentiasa berhubung dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Sementara itu beliau berkata penganjuran. Meet and Greet SKM X Media bertujuan meraikan pengamal media yang berperanan penting dalam mempromosikan aktiviti SKM kepada orang ramai.

“Ia kerana peranan media yang menjadikan SKM dikenali di setiap pelosok negara. Jadi untuk tahun 2025 kita mengharapkan media untuk membantu kami terutamanya menguar-uarkan aktiviti SKM.

“Kita juga ingin melihat komuniti-komuniti lain termasuk pengamal media dan penggiat seni supaya lebih dekat dengan koperasi,” menurutnya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment