“Saya cuba bawa kasih sayang”

KUALA LUMPUR 18 Julai – “Apa yang saya buat adalah demi Allah SWT semata-mata. Kalau orang ugut saya pun, saya tak takut. Setakat kata-kata (tak berasas), saya tak kisah tetapi apabila ramai orang lain terlibat sama (dalam situasi itu), saya jadi sedih,”.

Begitulah luahan pendakwah yang dikenali dengan kerja kemasyarakatan dan kebajikan, Ustaz Ebit Lew, yang menyatakan rasa kesal apabila masih ada pihak yang berprasangka buruk walaupun dia cuba membawa dan menyebarkan kasih sayang sesama manusia.

Kenyataan itu dipercayai susulan kontroversi membabitkannya dengan seorang penyanyi rap, yang diperkatakan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Dalam satu video yang tular di media sosial, Ebit berkata beliau tidak kisah dengan kejian atau tuduhan tidak berasas mana-mana pihak, namun sedih apabila ia turut membabitkan ramai pihak lain.

“Walaupun saya cuba nak bawa kasih sayang, pun ada orang nak lawan, nak benci. Saya tak faham.

“Dahulu saya tak kenal Tuhan, saya jahat. Saya bergaul dengan kawan-kawan yang jahat juga, tetapi tak pula jumpa benda-benda begini.

“Tetapi apabila saya cuba jadi baik dan cuba berdakwah, ujian pula datang tidak berhenti,” katanya.

Kontroversi yang memalitkan nama Ebit itu timbul selepas penyanyi rap itu mendakwa ada banyak ‘rahsia’ di sebalik misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Dia juga mendakwa tindakan Ebit memuat naik gambar kanak-kanak Gaza hanyalah untuk tujuan ‘content’ di media sosial.

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal pembantu peribadi Ebit, Arief Farhan menerusi hantaran di Instagram.

“Salahkah jika UEL (Ustaz Ebit Lew) beri mainan kepada anak-anak di Palestin? UEL ke sana atas dasar misi bantuan dan sumbangan.

“Hubungan UEL dan Menteri Luar Gaza juga baik-baik sahaja. Terbaharu, Menteri Luar Palestin beri surat ucapan takziah ketika pemergian ayahanda UEL,” kata Arief.

Related posts

Leave a Comment