Bashar al-Assad lari selepas Damsyik jatuh

DAMSYIK – Presiden Bashar al-Assad yang digulingkan baru-baru ini menjelaskan, beliau melarikan diri dari Syria tanpa dirancang sebaliknya ia berlaku hanya selepas Damsyik jatuh.

Dalam kenyataan pertamanya sejak pemberontak merampas ibu negara 8 Disember lalu, beliau juga menyifatkan  pemimpin baharu negara itu sebagai ‘pengganas’.

Sebuah pakatan pemberontak yang dipimpin oleh kumpulan pejuang Islam melancarkan serangan pantas dari kubu mereka di barat laut Syria pada 27 November, dan merampas bandar-bandar utama dari kawalan kerajaan dan menawan ibu negara pada 8 Disember.

“Keluarnya saya dari Syria bukanlah dirancang, dan ia tidak berlaku pada saat-saat akhir pertempuran seperti yang didakwa,” kata Assad dalam kenyataan yang disiarkan melalui saluran Telegramnya.

Beliau mendakwa masih kekal di Damsyik dan menjalankan tugasnya sehingga awal pagi 8 Disember.

“Apabila pasukan pengganas menyusup ke Damsyik, saya berpindah ke Latakia dengan koordinasi bersama sekutu Russia untuk memantau operasi tempur,” kata kenyataan itu, sambil menambah beliau tiba di pangkalan Hmeimim pada pagi 9 Disember.

Beliau berkata,kerika situasi di lapangan semakin merosot, pangkalan tentera Russia turut diserang dengan serangan dron yang dipertingkatkan.

Moscow meminta agar pihak komando mengatur pemindahan segera Assad ke Russia pada malam 8 Disember lalu.

Sebelum ini, ada lapiran mengatakan beberapa jam sebelum pasukan pemberontak merampas Damsyik dan menggulingkan kerajaan Assad, bekas presiden Syria itu sudah berada di luar negara.

Assad dilaporkan meminta penasihat rapatnya menyediakan ucapan — yang tidak pernah disampaikan oleh pemimpin yang digulingkan itu — sebelum terbang dari lapangan terbang Damsyik ke pangkalan udara Hmeimim di Russia, dan dari situ beliau keluar dari negara terbabit.

“Apabila negara jatuh ke tangan pengganas dan kemampuan untuk memberi sumbangan bermakna hilang, mana-mana kedudukan menjadi tidak bermakna,” tambah kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment