LENGGONG 14 Dis. – Barisan Nasional (BN) tidak akan memberi laluan mudah kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk merampas Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan memberi saingan untuk mempertahankan Perak supaya terus ditadbir Kerajaan Perpaduan.
Pada masa yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengumumkan hasrat mereka itu lebih awal.
“Bagus la dia (Muhyiddin) umum awal, boleh kita bertahan. Dia umum awal (jadi) kita boleh tahan, (bila) dia nak serang (kita) dah tahu dia nak lawan kita kan. Kita pun ada ‘machine gun’ juga, kita pun ada kelengkapan…. bukan mudah.
Pesuruhjaya Pas negeri (Razman Zakaria) pun dah minta maaf dekat Nga Kor Ming (berhubung isu fitnah insiden bendera China dikibar di Teluk Intan),” katanya berseloroh ketika ditemui pada Program Penutup Jelajah Sejahtera Desaku @DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, di sini, hari ini.
Muhyiddin sebelum ini pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 30 November lalu.dilapor menyatakan keyakinan Bersatu dan PN untuk merampas tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Selangor pada PRU16.
Saarani berkata, politik adalah tentang kuasa, dan semua orang akan mencari jalan untuk memenanginya.
“Cuma silap mereka (Bersatu dan PN) umum awal, kita pun ada sasar negeri mana (tetapi) tak boleh beritahu lagi. BN pun ada juga hasrat untuk menawan beberapa negeri, tak boleh cerita lagi,” katanya.
