Tangani segera kenaikan harga sayur

TANJONG 8 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), digesa mengambil tindakan segera bagi menangani isu kenaikan harga sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan di pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader, berkata ia susulan tinjauan CAP baru-baru ini yang mendedahkan kenaikan harga mendadak dalam tempoh hanya dua minggu.

Katanya, melalui tinjauan itu, harga kacang didapati melonjak daripada RM9 kepada RM17.50 sekilogram, bendi RM7 kepada RM12.50, kacang panjang RM8 kepada RM20; sawi RM6 kepada RM12 dan cili merah RM8 kepada RM18.

Kenaikan mendadak itu dikaitkan dengan kekurangan bekalan disebabkan musim hujan baru-baru ini dan peniaga sudah diberi amaran bahawa harga sayur-sayuran dan buah-buahan boleh meningkat lagi.

“Memandangkan musim hujan masih belum reda, Malaysia sepatutnya menghentikan eksport ikan dan sayur-sayuran ke negara lain dan mengutamakan permintaan tempatan sehingga musim hujan berakhir,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohideen berkata, Unit Penguatkuasaan KPDN juga digesa menyiasat kenaikan harga yang mendadak itu sehingga membebankan orang ramai terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Katanya, kenaikan harga itu boleh memberi kesan serius kepada diet isi rumah berpendapatan rendah kerana mereka mungkin terpaksa mengurangkan barangan makanan penting kerana kos yang lebih tinggi.

Beliau mendakwa, walaupun gesaan dilakukan berulang kali supaya tindakan diambil, CAP mendapati FAMA tidak mengambil langkah mencukupi dan berkesan bagi mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran.

Justeru itu ,CAP menggesa supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkatkan kecekapan saluran pengedaran makanan.

Katanya , peranan orang tengah perlu dikurangkan bagi mewujudkan pasaran langsung dan menambah baik rantaian bekalan yang boleh membantu mengurangkan kos.

Di samping itu, kerajaan juga perlu menyokong petani menerusi subsidi yang disasarkan, program latihan agroekologi dan bantuan kewangan yang boleh meningkatkan pengeluaran dengan ketara dan membantu mengurangkan harga.

Related posts

Leave a Comment