BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam satu siri serangan udara di kawasan utara dan barat Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.
Pengarah Hospital, Dr Hossam Abu Safieh, melaporkan empat kakitangan terbunuh, sementara semua pakar bedah sudah tiada susulan serangan terbaru.
Menurut saksi ditempat kejadian, pesakit dan kakitangan di Hospital Kamal Adwan diselubungi darah selepas beberapa serangan dron Israel.
Tentera Israel bagaimanapun menafikan serangan itu dan menyatakan mereka hanya beroperasi di kawasan berhampiran.
Hospital kini hanya beroperasi secara minimum dengan bekalan perubatan kritikal telah habis.
Beit Lahia, lokasi hospital, menjadi medan operasi besar tentera Israel selama dua bulan, memaksa ribuan penduduk untuk berpindah.
Sementara itu, seramai 17 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan Israel semalam, ke atas sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
Jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Bassal, berkata serangan itu berlaku pada waktu petang dan mengorbankan 17 orang.
“Hospital berdekatan menerima 39 orang yang cedera dengan kerja menyelamat sedang dijalankan di tempat kejadian, yang merosakkan beberapa rumah jiran,”katanya.
Susulan serangan itu, tentera Israel enggan memberikan sebarang komen atau bertanggungjawab terhadap tindakan itu.
