KUALA LUMPUR 5 Dis. – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Syor berkenaan terkandung dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” kata laporan itu.
Laporan ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya dipengerusikan Md Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara, menyatakan dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah Dr Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.
Katanya, jika Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Jemaah Menteri berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan itu.
“Dalam hal ini, Mahathir berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya,” katanya.
Selain itu, Suruhanjaya berkata, siasatan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan boleh dibuat atas fakta yang beliau menipu kerajaan dengan pengetahuan bahawa beliau berpotensi untuk menyebabkan kerugian salah (‘wrongful loss’) kepada kerajaan Malaysia kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai obligasi untuk melindungi kepentingan negara.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab terhadap negara dan hendaklah pada setiap masa memelihara, melindungi serta mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya.
“Dengan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu, Mahathir menyebabkan kerugian salah kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Suruhanjaya mengesyorkan Malaysia boleh memfailkan semula Permohonan Tafsiran baharu pada bila-bila masa yang sesuai, namun tidak mencadangkan Malaysia memfailkan semula Permohonan Tafsiran.
Selain itu, tindakan sivil di bawah Tort Misfeasans yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas (PPK) sebelum ini tidak perlu diambil terhadap Mahathir kerana tindakan itu terhalang oleh had masa.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Pada 12 Jun lalu, Dr Mahathir memberi keterangan hampir dua jam kepada suruhanjaya berkenaan dan pada sidang media kemudian, menafikan membuat keputusan sendirian dalam kes membabitkan tuntutan Batu Puteh sehingga Malaysia kehilangannya.
Katanya, keputusan berkenaan sebaliknya diputuskan Kabinet pada 2018 dan pihaknya hanya memberi pandangan supaya tuntutan itu tidak diteruskan kerana pakar undang-undang dan peguam ketika itu berpendapat ia kes yang lemah dan Malaysia tiada ‘peluru’ untuk menang.
Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, ketika Malaysia dan Singapura memutuskan untuk membawa perkara berkaitan Batu Puteh kepada ICJ, perjanjian sudah dibuat bahawa apa sahaja keputusan perlu diterima oleh kedua-dua negara.
“Kita perlu mematuhi janji (untuk terima keputusan), kalau mungkir janji, nama buruk pada Malaysia,” kata bekas Perdana Menteri.
April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, Perdana Menteri pada 2018 yang membuat keputusan ‘sembunyi-sembunyi’ adalah individu bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di ICJ.
Nnn
