SERDANG 30 Nov. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya nama Universiti Putra Malaysia (UPM) dikekalkan, sekaligus tidak berkenan dengan cadangan kembali kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Baginda bertitah, Lembaga Pentadbir UPM serta baginda selaku Canselor tidak terlebih dahulu dirujuk berkaitan sebarang cadangan pertukaran nama universiti terbabit.
“Di sini beta ingin menegaskan, bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta sudah pun melancarkan jenama PUTRA yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’.
“Nama UPM juga adalah bersempena nama Perdana Menteri pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj.
“Beta juga ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah supaya membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan, terutama membabitkan UPM,” titah baginda pada Sidang Kedua Sesi Satu, Istiasat Konvokesyen UPM ke-48 di UPM hari ini.
Khamis lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dilaporkan berkata cadangan menukar semula nama UPM kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia, akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin dalam titah ucapan baginda turut mengesyorkan supaya UPM menjalinkan kerjasama dengan pemain industri dalam bidang pertanian lain, bagi mencari jalan mempopularkan semula sektor pertanian di negara ini terutama kepada generasi muda.
Titah baginda, pandangan negatif masyarakat yang melabelkan bidang pertanian sebagai bidang yang tiada masa depan atau bidang kelas rendah perlu diubah, dan masyarakat perlu diyakinkan bahawa bidang pertanian mempunyai potensi dan masa depan yang cerah.
“Usaha ini perlu dilaksanakan kerana pertanian tetap menjadi satu sektor yang perlu dikekalkan dan merupakan sektor yang penting,” titah baginda.
Baginda bertitah, UPM melalui hasil kajian dan penyelidikan boleh menerajui usaha untuk membangunkan sektor pertanian moden dan industri hiliran yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada petani.
Menurut baginda, kerjasama dengan pihak kerajaan negeri juga boleh diadakan bagi mengenal pasti kawasan tanah yang boleh diusahakan untuk pertanian moden.
Titah baginda UPM juga perlu meningkatkan kajian dan penyelidikan bagi menemukan prosedur pertanian tanpa memerlukan penggunaan tanah yang luas, contohnya seperti pertanian secara hidroponik dan agroponik.
“Dengan kepakaran yang ada, graduan dan penyelidik UPM dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara dan memodenkan bidang pertanian,” titah baginda.
